Thursday, 6 December 2012

PENGALAMAN MENGHADIRI TEMUDUGA

Satu Pengalaman Menghadiri Temuduga

Saya pernah mengalami betapa sukarnya untuk menghadapi suasana temuduga. Kemahiran menghadapi temuduga ini tidak pernah dipelajari sama ada di sekolah  atau semasa di universiti. Saya masih ingat lagi pada tahun 1985, negara mengalami kemelesetan ekonomi pada tahap kemuncak. Graduan pada masa itu, sangat sukar memperolehi pekerjaan tetap di sektor kerajaan. Saya dan rakan-rakan terpaksa bersaing untuk mendapat tempat di sektor swasta.

Sektor swasta meletakkan kriteria yang ketat untuk mendapatkan calon yang terbaik mengisi kekosongan di syarikat mereka. Saya banyak belajar hasil daripada menghadiri pelbagai temuduga di sektor swasta. Kegagalan temuduga-temuduga yang dihadiri memberi satu pengalaman yang sangat berharga. Beberapa perkara perlu diperkasakan bagi bakal-bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Pandangan pertama penemuduga perlu diberikan perhatian  seperti berikut;

  • Berpakaian kemas. Seeloknya memakai sut. Ini menggambarkan kesungguhan anda menonjolkan personaliti diri sebagai bakal pegawai di syarikat berkenaan
  • Masuk ke dalam bilik temuduga bila dipanggil. Berjalan dengan penuh yakin dan bersemangat
  • Ucapkan salam kepada panel penemuduga. Duduk bila dipersilakan.
  • Duduk dengan tenang. Berikan maklumat yang diperlukan bila diminta
  • Elak senyuman yang berlebihan

Sebenarnya penemuduga sentiasa mengemukan soalan-soalan yang dapat mengukur potensi, personaliti dan kesesuaian calon untuk memegang jawatan-jawatan yang ditawarkan. Soalan-soalan provokasi sentiasa digunakan oleh penemuduga untuk mengukur tahap kesabaran calon. Jika anda melayan provakasi penemuduga, sebenarnya anda kalah dan kemungkinan anda memberikan jawapan dengan nada marah.
Pengalaman saya bila ditanya soalan-soalan berbentuk provokasi, kita jangan cepat melatah. Kita beri jawapan yang sejujurnya supaya tidak memerangkap kita sekiranya jawapan yang diberi adalah salah. Lebih baik kita berterus terang daripada kita memberikan jawapan yang salah.

Wednesday, 5 December 2012

TEMUDUGA - Satu Cabaran Yang Perlu Dilalui

Temuduga - Perlukan Ketenangan dan Kawalan Emosi

GEMBIRA dan panik menyerang anda sekaligus, ketika surat panggilan temuduga sampai ke tangan anda. Anda berfikir, baju apa yang patut dipakai, apa yang perlu dijawab ketika sesi temuduga, bolehkah anda melakukan kerja tersebut, atau bolehkah anda meyakinkan bakal majikan supaya menerima anda?

Jangan bimbang. Saya akan memberikan beberapa tips untuk mengatasi kebimbangan anda. Temuduga adalah asas pemilihan pekerja. Anda menghantar borang permohonan, dipanggil untuk sesi temuduga dan sekarang terpulang kepada anda untuk memberikan keyakinan kepada bakal majikan anda.

Jika anda berjaya melepasi temuduga tersebut, bermakna anda akan berjaya melepasi temuduga kedua dan seterusnya sehingga anda diterima bekerja. Berjaya beroleh panggilan temuduga bererti anda berada di pertengahan jalan dalam usaha mendapatkan kerjaya idaman.

Para penemuduga sebenarnya mengharapkan kejayaan anda kerana mereka benar-benar berharap anda akan mengisi kekosongan di syarikat mereka.Temuduga bukan suatu penyiasatan seperti polis menyoal pesalah. Berkelakuan seperti orang dewasa, bukan mangsa.
ANDA PERLU MEMBUAT PERSEDIAN RAPI
*Persediaan adalah kunci kejayaan.
*Pastikan anda tahu apa yang akan ditawarkan kepada majikan.
*Pastikan anda tahu apa yang dikehendaki bakal majikan.
*Dapatkan maklumat mengenai syarikat tersebut.
*Kenalpasti soalan yang bakal ditanya dalam sesi temuduga.
*Siapkan diri sendiri, berfikiran positif, bersemangat, semulajadi dan jujur.
Umumnya dalam sesi temuduga, pemohon akan ditanya soalan yang hampir serupa dan ia akan dinilai berdasarkan kriteria pekerjaan yang dipohon. Jadi berusahalah untuk memenuhi kriteria yang dikehendaki dan bersedia menjangkakan soalan yang bakal dikemukakan.
Jika anda berhadapan dengan panel penemuduga yang terdiri daripada dua atau lebih penemuduga, jangan panik. Bersikap tenang dan ini akan memudahkan panel penemuduga berkomunikasi dengan anda. Jika anda memohon suatu pekerjaan yang bersifat teknikal, anda akan berhadapan dengan soalan-soalan yang juga bersifat sedemikian.
Umpamanya, anda diberikan permasalahan mengenai perkomputeran dan diminta memberikan analisis dan menyelesaikannya.
Jadi, pastikan anda mengingati apa yang telah anda pelajari sebelum itu. Jika temuduga dibuat melalui telefon, kedua-dua belah tentu tidak dapat melihat satu sama lain. Suara boleh mempengaruhi banyak perkara, oleh itu amat penting anda `didengari' sebagai seorang yang bersemangat dan berkebolehan.
Penemuduga sendiri bukanlah orang yang sempurna. Jika anda melakukan kesilapan, lupakan hal itu dan teruskan langkah. Untuk berjaya dalam sesi temuduga, anda harus memahami emosi dan keadaan semulajadi. Bagaimana anda mengatasinya sama penting dengan apa yang anda katakan.