Saya pernah mengalami betapa sukarnya untuk menghadapi suasana temuduga. Kemahiran menghadapi temuduga ini tidak pernah dipelajari sama ada di sekolah atau semasa di universiti. Saya masih ingat lagi pada tahun 1985, negara mengalami kemelesetan ekonomi pada tahap kemuncak. Graduan pada masa itu, sangat sukar memperolehi pekerjaan tetap di sektor kerajaan. Saya dan rakan-rakan terpaksa bersaing untuk mendapat tempat di sektor swasta.
Sektor swasta meletakkan kriteria yang ketat untuk mendapatkan calon yang terbaik mengisi kekosongan di syarikat mereka. Saya banyak belajar hasil daripada menghadiri pelbagai temuduga di sektor swasta. Kegagalan temuduga-temuduga yang dihadiri memberi satu pengalaman yang sangat berharga. Beberapa perkara perlu diperkasakan bagi bakal-bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Pandangan pertama penemuduga perlu diberikan perhatian seperti berikut;
- Berpakaian kemas. Seeloknya memakai sut. Ini menggambarkan kesungguhan anda menonjolkan personaliti diri sebagai bakal pegawai di syarikat berkenaan
- Masuk ke dalam bilik temuduga bila dipanggil. Berjalan dengan penuh yakin dan bersemangat
- Ucapkan salam kepada panel penemuduga. Duduk bila dipersilakan.
- Duduk dengan tenang. Berikan maklumat yang diperlukan bila diminta
- Elak senyuman yang berlebihan
Sebenarnya penemuduga sentiasa mengemukan soalan-soalan yang dapat mengukur potensi, personaliti dan kesesuaian calon untuk memegang jawatan-jawatan yang ditawarkan. Soalan-soalan provokasi sentiasa digunakan oleh penemuduga untuk mengukur tahap kesabaran calon. Jika anda melayan provakasi penemuduga, sebenarnya anda kalah dan kemungkinan anda memberikan jawapan dengan nada marah.
Pengalaman saya bila ditanya soalan-soalan berbentuk provokasi, kita jangan cepat melatah. Kita beri jawapan yang sejujurnya supaya tidak memerangkap kita sekiranya jawapan yang diberi adalah salah. Lebih baik kita berterus terang daripada kita memberikan jawapan yang salah.