Temuduga - Perlukan Ketenangan dan Kawalan Emosi
GEMBIRA dan panik menyerang anda sekaligus, ketika surat panggilan temuduga sampai ke tangan anda. Anda berfikir, baju apa yang patut dipakai, apa yang perlu dijawab ketika sesi temuduga, bolehkah anda melakukan kerja tersebut, atau bolehkah anda meyakinkan bakal majikan supaya menerima anda?
Jangan bimbang. Saya akan memberikan beberapa tips untuk mengatasi kebimbangan anda. Temuduga adalah asas pemilihan pekerja. Anda menghantar borang permohonan, dipanggil untuk sesi temuduga dan sekarang terpulang kepada anda untuk memberikan keyakinan kepada bakal majikan anda.
Jika anda berjaya melepasi temuduga tersebut, bermakna anda akan berjaya melepasi temuduga kedua dan seterusnya sehingga anda diterima bekerja. Berjaya beroleh panggilan temuduga bererti anda berada di pertengahan jalan dalam usaha mendapatkan kerjaya idaman.
Para penemuduga sebenarnya mengharapkan kejayaan anda kerana mereka benar-benar berharap anda akan mengisi kekosongan di syarikat mereka.Temuduga bukan suatu penyiasatan seperti polis menyoal pesalah. Berkelakuan seperti orang dewasa, bukan mangsa.
ANDA PERLU MEMBUAT PERSEDIAN RAPI
*Persediaan adalah kunci kejayaan.
*Pastikan anda tahu apa yang akan ditawarkan kepada majikan.
*Pastikan anda tahu apa yang dikehendaki bakal majikan.
*Dapatkan maklumat mengenai syarikat tersebut.
*Kenalpasti soalan yang bakal ditanya dalam sesi temuduga.
*Siapkan diri sendiri, berfikiran positif, bersemangat, semulajadi dan jujur.
Umumnya dalam sesi temuduga, pemohon akan ditanya soalan yang hampir serupa dan ia akan dinilai berdasarkan kriteria pekerjaan yang dipohon. Jadi berusahalah untuk memenuhi kriteria yang dikehendaki dan bersedia menjangkakan soalan yang bakal dikemukakan.
Jika anda berhadapan dengan panel penemuduga yang terdiri daripada dua atau lebih penemuduga, jangan panik. Bersikap tenang dan ini akan memudahkan panel penemuduga berkomunikasi dengan anda. Jika anda memohon suatu pekerjaan yang bersifat teknikal, anda akan berhadapan dengan soalan-soalan yang juga bersifat sedemikian.
Umpamanya, anda diberikan permasalahan mengenai perkomputeran dan diminta memberikan analisis dan menyelesaikannya.
Jadi, pastikan anda mengingati apa yang telah anda pelajari sebelum itu. Jika temuduga dibuat melalui telefon, kedua-dua belah tentu tidak dapat melihat satu sama lain. Suara boleh mempengaruhi banyak perkara, oleh itu amat penting anda `didengari' sebagai seorang yang bersemangat dan berkebolehan.
No comments:
Post a Comment